AGENDAJENAYAH

Pegawai kanan polis berdepan 46 pertuduhan terima rasuah RM70,600

KUANTAN, 7 SEPT: Seorang pegawai kanan polis hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 46 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM70,600 pada 2019 hingga awal tahun ini.

Bekas Ketua Polis Daerah Temerloh Mohd Azhar Mohd Yusoff, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh dua jurubahasa selama hampir sejam di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Dia didakwa menerima wang antara RM100 dan RM5,600 yang dipindahkan secara dalam talian ke akaun miliknya daripada beberapa individu serta syarikat dan mempunyai hubungan dengan tugas rasminya termasuk tidak mengambil tindakan ke atas pekerja asing dan premis perniagaan beroperasi lebih masa.

Mohd Azhar didakwa melakukan perbuatan itu ketika bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh antara Mac 2019 hingga Januari 2023 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dia juga mengaku tidak bersalah atas 46 pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Feisal Mohd Azmi, Rasyidah Murni Azmi dan Rifah Izzati Abdul Mutalif manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Bob S Arumugam serta Najib Zakaria.

Ahmad Feisal menawarkan jaminan RM40,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Arumugam pula merayu jaminan dikurangkan kerana tertuduh, yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, tidak pernah berdepan sebarang tindakan tatatertib manakala isterinya baru menjalani pembedahan dan Mohd Azhar akur untuk menghadiri prosiding mahkamah seperti ditetapkan selepas ini.

Ahmad Zamzani kemudian membenarkan Mohd Azhar diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan semua syarat tambahan yang dimohon pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 15 Nov depan untuk serahan dokumen dan pengurusan kes.

– BERNAMA


Pengarang :