DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan meninjau Jualan Ehsan Rahmah bersama Segi Fresh cawangan Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada 30 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Raja Muda berkenan tinjau Jualan Ehsan Rahmah di Segi Fresh

KUALA LANGAT, 30 SEPT: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor berkenan meluangkan masa kira-kira 30 minit meninjau Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Segi Fresh cawangan Teluk Panglima Garang di sini hari ini.

Kunjungan Tengku Amir Shah ketika merasmikan program dengan kerjasama pasar raya tersebut turut diserikan dengan penyampaian sumbangan barangan asas kepada asnaf dan pertubuhan rumah anak yatim.

Baginda diiringi Pengarah Segi Value Holdings Sdn Bhd Dato’ Syed Haizam Hishamuddin Putra Jamalullai dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.

DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (tengah) berkenan memotong riben sebagai simbolik pelancaran Jualan Ehsan Rahmah bersama Segi Fresh cawangan Telok Panglima Garang pada 30 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Menurut Syed Haizam, kolaborasi antara Segi Fresh dan Kerajaan Negeri bertujuan membantu masyarakat mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan.

“Hasil kerjasama ini adalah untuk meringankan beban dan memberi manfaat kepada komuniti setempat terutamanya golongan berpendapatan rendah.

“Segi Fresh menawarkan pelbagai barangan segar terus dari ladang dan barangan lain pada harga Rahmah. Kami memahami keperluan dan kehendak masyarakat,” katanya.

Orang ramai berbelanja di Pasaraya Segi Fresh cawangan Telok Panglima Garang pada 30 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pada Julai, PKPS menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Segi Fresh bertujuan memperluas capaian jualan murah anjuran Kerajaan Negeri mulai 1 Ogos.

Pasar raya itu dilantik menjadi rakan strategik PKPS bagi pelaksanaan program JER termasuk penyediaan lokasi jualan dan logistik di 55 premis rangkaian Segi Fresh di seluruh Selangor.


Pengarang :