Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi (dua,kiri) dan Pengarah Segi Value Holdings Sdn Bhd Dato’ Syed Haizam Hishamudin Putra Jamalullail (dua,kanan) menunjukkan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai kedua-dua pihak di Wisma PKPS, Shah Alam pada 25 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PKPS, Segi Fresh meterai MoU perluas jualan murah di Selangor

SHAH ALAM, 25 JULAI: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama pasar raya terkemuka Segi Fresh hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata kerjasama itu bertujuan memperluas capaian Jualan Ehsan Rahmah (JER) di negeri ini mulai 1 Ogos.

Menurutnya, Segi Fresh akan menjadi rakan strategik PKPS bagi pelaksanaan program JER termasuk penyediaan lokasi jualan dan logistik di premis rangkaian pasar raya itu di seluruh Selangor.

“Usahasama ini juga akan meneroka potensi bagi pembangunan serta pemasaran jenama keluaran PKPS iaitu produk Ehsan di 55 rangkaian premis Segi Fresh di Selangor.

“Kita percaya dengan termeterainya MoU ini ia akan melakukan anjakan paradigma kepada kedua-dua syarikat untuk membawa barangan lebih segar dan berpatutan kepada rakyat,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi bercakap kepada media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Segi Value Holdings di Wisma PKPS, Shah Alam pada 25 Julai 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani MoU antara PKPS dan Segi Fresh di Dewan Orkid Wisma PKPS di sini hari ini.

Dr Mohamad Khairil berkata harga bagi barangan itu juga ditawarkan 20 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran semasa.

Mengulas sama ada JER masih dianjurkan berikutan barangan Ehsan boleh didapati di Segi Fresh, beliau berkata setakat ini JER berlangsung seperti biasa.

“Kita lihat kepada permintaan sekiranya ada mandat daripada Kerajaan Negeri, kita akan teruskan lagi JER seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Segi Value Holdings Sdn Bhd Chia Ah Keong berkata pihaknya menyambut baik kerjasama itu demi membantu masyarakat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan.

“Setakat ini kita miliki 55 premis Segi Fresh di Selangor dan untuk permulaan produk Ehsan akan dipasarkan di 24 premis sebelum diperluaskan ke seluruh pasar raya kita.

“Selepas ini kita sasar untuk cukupkan 100 premis Segi Fresh di Selangor hingga hujung tahun ini dan kita yakin produk Ehsan akan dijual di seluruh pasar raya kita pada masa akan datang” katanya.

Terdahulu, MoU ditandatangani Dr Mohamad Khairil mewakili PKPS dan Segi Fresh diwakili Pengarahnya Dato’ Syed Haizam Hishamudin Putra Jamalullail sambil disaksikan Pengurus Besar Sektor Khidmat Pengurusan PKPS Noraini Mohamad Ramlan dan Chia Ah Keong.


Pengarang :