Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat pada 19 September 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Rasionalisasi subsidi dijamin tidak beban golongan pendapatan menengah, rendah

SHAH ALAM, 19 SEPT: Perdana Menteri memberi jaminan sebarang rasionalisasi subsidi yang dilaksanakan tidak akan membebankan golongan berpendapatan menengah dan rendah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan sudah tentu tidak akan menambah beban sedia ada yang ditanggung golongan miskin.

“Saya bagi jaminan bahawa apapun rasionalisasi subsidi yang dilakukan kita tidak akan membebankan golongan berpendapatan menengah dan rendah.

“Ini kerana sebarang penyesuaian yang membebankan mereka tentu akan menambah beban yang sedia ditanggung oleh golongan miskin,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar turut mengumumkan perincian subsidi bersasar akan dibentangkan dalam Belanjawan Madani Kedua 2024 bulan depan.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi berkata kerajaan menjangkakan subsidi bersasar dapat dilaksana sepenuhnya tahun depan namun ia memerlukan pendekatan sesuai.

Rafizi Ramli dilaporkan berkata sistem kad untuk menyalurkan subsidi bersasar akan digunakan bagi memastikan hanya kumpulan atau industri berkelayakan sahaja akan mendapat manfaat daripadanya.


Pengarang :