Tekong skuad sepak takraw negara Mohammad Syahir Mohd Rosdi membuat servis ketika beraksi menentang pasukan Thailand dalam acara Regu Berpasukan di temasya Sukan Asia Jakarta Palembang Ke-18 di Bandar Sukan Jakabaring pada 19 Ogos 2018. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Syahir pasang impian raih dua emas pada temasya Sukan Asia

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Tekong skuad sepak takraw kebangsaan Muhammad Syahir Mohd Rosdi memasang impian besar, untuk meraih dua pingat emas pada Sukan Asia Hangzhou 2022 bermula 23 September hingga 8 Oktober ini.

Biarpun Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) hanya menyasarkan pingat emas untuk acara antara regu manakala perak bagi acara regu berpasukan, Muhammad Syahir berkata barisan pemain negara mempunyai cita-cita lebih tinggi untuk muncul juara dalam kedua-dua acara berkenaan.

Bakal berdepan tugas berat berdepan kuasa besar sukan berkenaan, Thailand dalam kedua-dua acara itu, pemain tinggi lampai dengan ketinggian 190cm itu berkata skuad negara, akan terus berjuang bermati-matian untuk merealisasikan impian mereka.

“Kita akan cuba sedaya-upaya dan bermati-matian untuk dapatkan dua emas kerana Sukan Asia ini paling tinggi untuk sepak takraw, saya boleh ibaratkannya sebagai Piala Dunia bagi kami. Memang Thailand sebuah pasukan solid, tetapi pasukan Malaysia tidak kurang hebatnya.

“Kita juga tidak boleh ketepikan pasukan lain seperti Indonesia, Korea Selatan dan India yang semakin meningkat. Kami kena lepasi halangan ini dulu, baru boleh menentang Thailand,” katanya ketika ditemui pemberita selepas lawatan Ketua Kontinjen Datuk Chong Kim Fatt ke sesi latihan skuad negara di sini, hari ini.

Muhammad Syahir yang bakal beraksi buat kali ketiga pada Sukan Asia, berkata latihan selama tiga minggu di Ratchaburi dan pertandingan di Pattaya, Thailand pada bulan lepas sebagai persediaan ke Sukan Asia, berjaya meningkatkan semangat berpasukan dan prestasi skuad negara.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad negara Ahmad Jais Baharun berkata kesemua pemain berada pada tahap terbaik untuk menghadapi saingan Sukan Asia, kecuali Mohamad Azlan Alias dan Haziq Hairul Nizam yang masih dalam proses pemulihan akibat kecederaan.

“Mereka dihantar ke Institut Sukan Negara (ISN) untuk fisioterapi. Kecederaan tidak serius, hanya ketegangan otot, dan mampu beraksi di Hangzhou,” katanya sambil mengakui skuad negara bakal berdepan cabaran sengit di Hangzhou.

Bagi acara regu, juara bertahan Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Singapura dan Vietnam, manakala Kumpulan B dibarisi Thailand, Filipina, India dan Myanmar.

Bagi regu berpasukan, Malaysia berada di Kumpulan B bersama musuh tradisi Indonesia dan Korea Selatan, manakala juara bertahan Thailand, Jepun dan Laos dalam Kumpulan A.

Pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, skuad negara meraih emas acara regu yang tidak disertai Thailand, manakala tewas kepada Thailand dalam final regu berpasukan.

– BERNAMA


Pengarang :