Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga Ahli Majlis Perpaduan Negara, Dr Sivamurugan Pandian. Foto Facebook USM
AGENDANASIONAL

Teguran Sultan penting elak agama diperalat untuk kepentingan politik

SHAH ALAM, 15 SEPT: Semua pimpinan politik perlu mengambil serius titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai isyarat dan mesej jelas agar berhenti memperalat agama bagi meraih sokongan.

Ahli Majlis Perpaduan Negara berkata teguran Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj amat tepat pada masanya, terutama ketika sentimen agama dan kaum diperguna pihak tidak bertanggungjawab.

“Teguran Sultan Selangor itu bertujuan untuk pastikan apa sahaja yang mahu disampaikan dalam konteks mencari sokongan, tidak harus menganggu gugat perpaduan antara kaum dan malahan dalam kaum itu sendiri.

“Kalau guna secara berlebihan, ia dibimbangi akan beri kesan yang besar kepada negara. Pemain politik perlu ambil ia sebagai isyarat dan mesej jelas,” kata Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian kepada Selangorkini.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu menambah kebimbangan sama juga pernah disuarakan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini.

“Saya fikir kebimbangan ini amat berasas sekali kerana ia sudah disampaikan secara berterusan oleh Insitusi Diraja. Itu merupakan nasihat yang cukup besar dan harus diambil secara serius,” katanya.

Selasa lalu, Sultan Selangor menyeru pemimpin politik supaya tidak memperalat agama bagi meraih sokongan dengan memangsakan rakyat untuk kepentingan diri.

Sultan Sharafuddin menegaskan perbuatan mengeluarkan fatwa secara tidak bertanggungjawab juga perlu dihentikan demi memelihara perpaduan rakyat di negara ini.

Baginda bertitah fatwa yang dikeluarkan ahli politik boleh mencetuskan perbalahan, perpecahan dan keganasan dalam masyarakat yang akhirnya meranapkan tamadun sesuatu bangsa.


Pengarang :