Aksi pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia ketika menentang pemain Jepun Kodai Naraoka pada Kejohanan Badminton Petronas Terbuka Malaysia 2023 di Axiata Arena Bukit Jalil pada 11 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Terbuka China: Zii Jia tersingkir awal, tewas di tangan jaguh Jepun

KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia terus dirundung malang apabila tersingkir seawal pusingan pertama pada kempen Terbuka China yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou hari ini.

Zii Jia ditunjukkan jalan keluar oleh pemenang pingat perak Kejohanan Dunia 2023 dan pilihan keempat kejohanan dari Jepun, Kodai Naraoka selepas tewas 24-26, 21-12, 11-21 dalam tempoh satu jam 15 minit, demikian menurut laman sesawang https://bwf.tournamentsoftware.com/.

Kekalahan tersebut menyaksikan pemain berusia 25 tahun itu yang menghuni ranking dunia ke-14 terus bergelut mencapai prestasi terbaiknya, selain mengalami kekecewaan berturut-turut selepas tersingkir di pusingan ketiga pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, bulan lepas.

Tahun ini, Zii Jia mara ke separuh akhir sebanyak tiga kali masing-masing di All England pada Mac lepas, Terbuka Switzerland (Mac) dan Terbuka Australia bulan lalu daripada keseluruhan 15 kejohanan kelolaan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang disertainya.

Harapan Malaysia dalam acara perseorangan lelaki ketika ini terletak pada Ng Tze Yong yang berjaya mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua selepas mengejutkan pemenang gangsa Kejohanan Dunia tahun ini H.S Prannoy dari India, semalam.

Sementara itu, beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mara ke pusingan kedua selepas mudah mengatasi gandingan India Rohan Kapoor-Reddy Sikki 21-15, 21-16 dan menanti pasangan negara itu adalah pilihan keenam dari Korea Selatan Kim Won Ho-Jeong Na Eun.

Dalam pada itu, pemain perseorangan wanita Goh Jin Wei tewas kepada wakil Jepun Aya Ohori 18-21, 12-21.

Beberapa lagi wakil negara dijadual turun beraksi pada hari kedua kejohanan yang sedang berlangsung ketika ini antaranya bekas juara dunia beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

– BERNAMA


Pengarang :