DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (tengah) mendaki puncak Gunung Kilimanjaro, Tanzania pada 8 September 2023. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDANASIONAL

Usaha RMS kumpul dana bantu kanak-kanak memerlukan beri inspirasi buat rakyat

SHAH ALAM, 9 SEPT: Usaha Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor mengumpul dana pembinaan pusat penjagaan kanak-kanak dengan menakluk puncak gunung di Tanzania memberi inspirasi dan pedoman buat rakyat untuk membantu golongan memerlukan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mendoakan misi pendakian Tengku Amir Shah menawan puncak Gunung Kilimanjaro dilindungi dan usaha Baginda membantu pembinaan pusat berkenaan di Perpustakaan Raja Tun Uda di sini diberkati Allah SWT.

“Merafak sembah dan setinggi-tinggi tahniah kepada DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang telah berjaya menawan puncak Gunung Kilimanjaro di Tanzania.

“Semoga Allah SWT memberkati dan melindungi DYTM Tuanku sepanjang misi ini,” tulisnya di laman X hari ini.

DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (dua, kiri) selepas berjaya menawan puncak Gunung Kilimanjaro, Tanzania pada 8 September 2023. Foto Facebook Selangor Royal Office

Pendakian Tengku Amir ke puncak Gunung Kilimanjaro setinggi 5,895 meter bermula 31 Ogos lalu hingga semalam.

Baginda diiringi sepupu Engku Panglima Setia Diraja Dato’ Syed Haizam Jamalullail; kekanda ipar Dato’ Setia Aubry Rahim Mennesson; Orang Besar Istana Tengku Ezrique Ezzuddean dan rakan Baginda Keong Yeen Keoh.

Pada 2012, Tengku Amir pernah menyertai ekspedisi hampir serupa ke Gunung Kinabalu bersama 23 kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) dari Cheshire Home.

Mereka yang ingin menyumbang kepada dana pembinaan pusat jagaan yang bertempat di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam boleh melayari pautan ini.


Pengarang :