Polis mengingatkan masyarakat untuk berwaspada ketika membuat pembelian melalui platform e-dagang dengan memastikan ia mempunyai ciri keselamatan dan sentiasa menyemak komen daripada pengguna lain. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

2.6 bilion panggilan terbabit jenayah penipuan dalam talian disekat

SHAH ALAM, 18 OKT: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) berjaya menyekat 2.6 bilion panggilan disyaki jenayah penipuan dalam talian setakat September lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata polis turut membuka 5,924 kertas siasatan bagi kesalahan penipuan dan pengubahan wang haram (54) melibatkan pembekuan akaun RM63 juta.

“NSRC sedang meneliti peruntukan undang-undang sedia ada yang perlu dipinda termasuk Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah,” kata Ramkarpal Singh.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) pada sesi Soal Jawab Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah beliau, NSRC juga menerima 53,783 panggilan berkaitan laporan kes penipuan sejak penubuhannya Oktober tahun lalu.

Menurut Ramkarpal, kajian sedang dilaksanakan bagi memperkukuh pengoperasian NSRC termasuk kesediaannya beroperasi 24 jam.

“Seperti mana diumumkan oleh perdana menteri semasa pembentangan Belanjawan 2024, peruntukan kepada NSRC tahun depan ditingkatkan daripada RM10 juta kepada RM20 juta.

“Peningkatan jumlah peruntukan ini mencerminkan pendirian teguh dan serius kerajaan untuk membanteras jenayah penipuan secara dalam talian,” katanya.


Pengarang :