Projek pembinaan taman perumahan di Jenjarom, Kuala Langat dihentikan serta-merta kerana melanggar syarat kelulusan pihak berkuasa tempatan. Foto Facebook MPKL
AGENDANASIONAL

301 projek perumahan terbengkalai siap setakat September

SHAH ALAM, 30 OKT: Sebanyak 301 projek perumahan sakit dan terbengkalai berjaya diselesaikan setakat 30 September lalu, kata Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan.

Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata jumlah itu membabitkan 38,752 unit rumah di seluruh negara dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM28.88 bilion.

“Pelbagai langkah dilaksanakan oleh kementerian bagi menjejak projek-projek perumahan swasta lewat, sakit dan terbengkalai secara komprehensif dan menyeluruh.

“Usaha kementerian dilaksana dengan lebih terperinci supaya tindakan penyelesaian adalah lebih bersasar dan berfokus,” katanya menjawab soalan R Yuneswaran (HARAPAN-Segamat) di Dewan Rakyat hari ini.

Akmal menambah penubuhan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai membantu kementerian menyelesaikan masalah semasa projek perumahan.

Jelasnya, kerjasama turut diadakan bersama Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tanah, pihak berkuasa tempatan, bank dan persatuan pembeli bagi memastikan ia tidak berulang.

Pada Jun lalu, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan mengenal pasti 481 projek perumahan sakit dan 112 projek terbengkalai di seluruh negara.

Menurut Akmal, Kelantan antara negeri merekodkan peratusan tertinggi projek perumahan swasta tidak mengikut perancangan ditetapkan dengan 40 projek sakit dan tiga lewat.


Pengarang :