Kenderan bergerak perlahan di tol Juru, Pulau Pinang berikutan orang ramai mula pulang ke destinasi masing-masing selepas bercuti sempena cuti umum Tahun Baharu Cina selama dua hari ketika tinjauan pada 3 Februari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dakwaan jambatan Pulau Pinang retak adalah palsu

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) hari ini memaklumkan video tular yang memaparkan berlaku keretakan pada sebahagian struktur jambatan di Pulau Pinang adalah palsu.

LLM dalam kenyataan hari ini menegaskan kejadian itu tidak berlaku di Jambatan Pulau Pinang (JPP) dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS).

“Hasil siasatan oleh PLUS Malaysia Berhad dan Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) mendapati kejadian itu tidak berlaku di mana-mana bahagian struktur JPP dan JSAHMS. Pihak JKSB hari ini telah membuat laporan polis berhubung dakwaan palsu terbabit,” menurut kenyataan itu.

LLM menasihati semua pihak supaya tidak berkongsi maklumat yang tidak sahih bagi mengelakkan salah faham dan kebimbangan rakyat terutama pengguna JPP dan JSAHMS.

Semalam, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata kejadian itu bukan berlaku di JSAHMS, malah video tular itu ialah rakaman lama yang berlaku di luar negara sekitar 2014.

– BERNAMA


Pengarang :