Sukarelawan Selangor (Serve) Rescue ketika Majlis Penutupan Latihan dan Kursus Serve Rescue di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam pada 17 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

5,000 ahli SERVE siap siaga hadapi bencana pada musim tengkujuh

SEPANG, 28 OKT: Kira-kira 5,000 Sukarelawan Selangor (SERVE) dalam keadaan siap siaga menghadapi sebarang insiden sepanjang musim Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku November hingga Mac 2024.

EXCO Pengurusan Bencana Najwan Halimi berkata Kerajaan Negeri sentiasa memperkemas unit sukarelawan itu dan menggalakkan penyertaan seramai mungkin khusus individu berumur 18 tahun ke atas.

“Setakat ini 1,500 sukarelawan yang aktif tetapi mengikut data kita ada kira-kira 5,000 sukarelawan SERVE yang berdaftar dan kita yakin sekiranya berlaku bencana luar jangka mereka akan turun.

“Kita juga mengalu-alukan kepada mana-mana individu yang berminat dalam aktiviti amal dan kemasyarakatan untuk menjadi sebahagian daripada sukarelawan SERVE,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Menghadapi Monsun Timur Laut dan Kempen Keselamatan Aktiviti Air 2023 di Taman Tasik Cyberjaya di sini hari ini.

Sebelum ini, Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor Mohammad Nizam Marjugi berkata sukarelawan itu akan memperoleh sijil sebagai tanda penghargaan termasuk menimba pengalaman membantu mangsa bencana.

Pendaftaran SERVE boleh dibuat melalui pautan https://tinyurl.com/ServeSelangor.

Pada 20 September lalu, SERVE digerakkan bagi membantu membersihkan kediaman keluarga terjejas ribut di lima lokasi sekitar Beranang.

Pasukan terbabit turut terlibat dalam misi pembersihan sisa pukal akibat banjir sekitar Labis, Johor termasuk membantu mangsa bencana fenomena kepala air di Yan, Kedah.


Pengarang :