Warga emas menerima baucar Jom Shopping ketika program Hari Perihatin Rakyat anjuran Parlimen Gombak di Dewan Beringin, Taman Sri Gombak, Gombak pada 29 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

700 warga emas, OKU parlimen Gombak terima baucar beli-belah

GOMBAK, 29 OKT: Seramai 700 penerima warga emas dan orang kurang upaya (OKU) menerima baucar beli-belah bernilai RM150 pada program Hari Prihatin Rakyat parlimen Gombak di sini hari ini.

Penyelaras program Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) Mohd Rafiuddin Sarudin berkata pihaknya mengagih 500 baucar Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan 200 baucar Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS).

Penyelaras program Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) Mohd Rafiuddin Sarudin

“Baucar bernilai RM150 merupakan hadiah Kerajaan Negeri buat warga emas dan golongan OKU.

“Nilai ini telah dinaikkan banding RM100 sebagai hadiah hari jadi sebelum ini untuk menggalakkan mereka membeli-belah di pasar raya terpilih,” katanya pada program berkenaan.

Raja Zazlan Raja Shahrin

Sementara itu, pekerja swasta, Raja Zazlan Raja Shahrin, 46, berkata baucar untuk warga emas meringankan beban penerima akibat kenaikan kos sara hidup.

“Saya mewakili ayah saya Raja Shahrin Raja Ailan tebus baucar, ia dapat digunakan menampung belanja keperluan asas,” katanya.

R Mani

Manakala R Mani, 73, pula meluahkan rasa gembira menerima baucar tersebut yang akan digunakan untuk menampung perbelanjaan barangan keperluan asas.

“Saya sangat hargai keprihatinan Kerajaan Negeri memberi baucar ini untuk meringankan beban warga emas seperti saya,” katanya.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM16.48 juta bagi program pemberian baucar Jom Shopping sempena perayaan mengikut komponen kaum yang bakal memanfaatkan 82,400 penerima.


Pengarang :