Kamarul Iqbal Ismail, 35,
SELANGOR

Bantuan Kerajaan Negeri suntik semangat Ikon Agro Selangor terus kembang perniagaan

SHAH ALAM, 31 OKT: Minat mendalam penternak ikan keli dan talapia yang memulakan perniagaan sejak 2007 membuahkan hasil apabila dinobatkan pemenang Ikon Agro Selangor 2022 bagi edisi ketiga.

Mohd Hafiz Nordin,39, berkata beliau mula menceburi bidang ternakan ketika berusia awal 20-an secara kecil-kecilan, namun dengan bantuan Kerajaan Negeri ia mula berkembang dari semasa ke semasa.

“Saya tidak menyangka dipilih salah seorang ikon kerana semua calon mempunyai perniagaan yang cukup hebat. Kemenangan ini bukan sahaja usaha dan minat mendalam, tetapi ia dibantu dengan input dan peralatan daripada Kerajaan Negeri.

Mohd Hafiz Nordin

“Setakat ini, perniagaan semakin maju dengan penggunaan teknologi bioflok yang mana air kolam tidak perlu ditukar berbanding sebelum ini dua atau tiga harus diganti. Dengan teknologi ini sangat menjimatkan air dan sesuai untuk pertanian di bandar,” katanya ditemui selepas program tersebut.

Tambahnya,  kemenangan itu menjadi titik permulaan untuk terus mengembangkan perniagaan dengan membuka ladang ternakan baharu.

Sementara itu, seorang lagi ikon kategori tanaman, Kamarul Iqbal Ismail,35, menyifatkan insentif diberikan Kerajaan Negeri menjadi pendorong kepadanya mengembangkan perniagaan melon yang bermula dari 1.6 ekar kepada tujuh ladang dengan keluasan 38 ekar.

Katanya, ladang yang terletak di Kuala Langat kini mampu menghasilkan 60 hingga 80 tan sebulan dengan kapasiti 139,000 polibeg berbanding sebelum ini 8,000 polibeg sahaja.

“Bantuan dan bimbingan daripada Kerajaan Negeri membantu membesarkan perniagaan terutama dalam memberikan baja dan khidmat nasihat serta taklimat.

“Saya mula mengusahakan melon sejak 2017 dan tanaman ini mula popular sejak tiga tahun lalu. Setakat ini, tanaman ini sudah mula dikenali sehingga koperasi melon ditubuhkan supaya hala tuju sektor ini dapat ditentukan dan mempunyai masa depan lebih baik,” katanya.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Ir Izham Hashim bergambar bersama penerima ketika majlis Anugerah Ikon Agro Selangor 2022 di Wisma PKPS, Shah Alam pada 30 Oktober 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Terdahulu, dua lagi usahawan dinobat sebagai Ikon Agro Selangor 2022 iaitu Faridah Khalid pengusaha lebah kelulut dan Mohd Noorhardy Mohd NoorZain yang mengusahakan tanaman nanas.

Kesemua mereka menerima hadiah wang tunai dan bantuan peralatan bernilai RM10,000 serta trofi yang disampaikan EXCO Pertanian Ir Izham Hashim di Dewan Orkid Bangunan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Program Ikon Agro Selangor dianjurkan bertujuan menjadikan Selangor sebagai pusat bekalan makanan selain menggalakkan lebih ramai berkecimpung dalam industri.

Bagi edisi ketiga kali ini, sebanyak 23 penyertaan pencarian Ikon Agro Selangor 2022 diterima selepas tarikh tutup permohonan pada 18 Januari lalu.

Lima kategori dipertandingkan dalam program edisi ketiga iaitu penternakan, akuakultur, tanaman, industri asas tani dan agro pelancongan.


Pengarang :