Orang ramai membeli barang keperluan di Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil di Pangsapuri Putra, Jalan Putra Prima pada 22 Oktober 2023. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Barang kering Ehsan makin dikenali, jadi pilihan di jualan murah

SEPANG, 22 OKT: Jualan Ehsan Rahmah (JER) menjadi platform mempromosi barangan kering jenama Ehsan keluaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Pekerja Amnya Muhammad Syahmi Asymawi berkata barangan seperti tepung gandum, bihun, sos tomato, sos tiram, kaya pandan, kaya madu dan cili giling semakin dikenali dan menjadi pilihan pengguna.

Pekerja Am PKPS Muhammad Syahmi Asymawi

“Orang sudah kenali dan percaya kualiti barangan kita dan mereka mesti beli bila mendapat peluang di JER,” katanya pada program peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil di Pangsapuri Putra di sini hari ini.

Muhammad Syahmi turut menjelaskan beras Ehsan, ayam dan telur kekal mendapat permintaan tinggi pembeli.

“Di sini kita sediakan 500 ekor ayam, beras lima kg (400 kampit), telur (300 papan), minyak masak lima kg (72 botol), ikan (200 pek) dan daging pejal 1kg (200 pek).

“Turut dijual adalah isi kerang, sotong gelang (sotong ring) dan hati ayam berharga RM10 setiap pek,” katanya.

JER yang dahulunya dikenali sebagai Jelajah Ehsan Rakyat diteruskan hingga Disember ini dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Ia menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS


Pengarang :