Mesyuarat penuh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 26 Oktober 2023. Foto Ihsan Majlis Bandaraya Petaling Jaya
PBTSELANGOR

Batal lesen perniagaan premis jika cat petak parkir tanpa kebenaran

PETALING JAYA, 26 OKT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan membatalkan lesen perniagaan peniaga atau pemilik premis yang didapati mengecat petak parkir tanpa kebenaran.

Timbalan Datuk Bandar Aznan Hassan berkata tindakan itu diambil jika mereka didapati bersalah memalsukan petak letak kenderaan.

“MBPJ mempunyai rekod berkenaan tempat letak kenderaan yang sah di premis perniagaan di sekitar Petaling Jaya.

“Justeru, semua pemilik premis perniagaan sama ada yang mempunyai petak khas tempat letak kenderaan sah atau sebaliknya diminta tidak mengecat sendiri kotak tersebut.

“Jika didapati bersalah memalsukan kotak tempat letak kereta ini boleh dikenakan tindakan seperti lesen perniagaan dibatalkan,” katanya ditemui selepas mesyuarat penuh MBPJ di sini hari ini.

Mengelak daripada lesen terbatal, Aznan menggesa peniaga mematuhi peraturan serta tidak menyalahgunakan lot tempat letak kenderaan di premis perniagaan masing-masing.

Sebelum ini, MBPJ pernah membatalkan lesen perniagaan sebuah syarikat kerana gagal mengemukakan maklum balas terhadap notis penjelasan mengecat petak khas tanpa kebenaran.

Sekretariat media unit komunikasi korporat MBPJ menerusi kenyataan memaklumkan tindakan itu diambil susulan kegagalan syarikat itu mengemukakan maklum balas dalam tempoh seminggu.


Pengarang :