Gelagat murid sekolah yang dirakam pada hari pertama sesi persekolahan 2023/2024 di Sekolah Kebangsaan Seberang Ramai pada 20 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Belanjawan 2024 peruntuk RM788.13 juta untuk bantuan awal persekolahan

PUTRAJAYA, 16 OKT: Sebanyak RM788.13 juta menerusi Belanjawan 2024 yang dibentangkan Jumaat lalu, diperuntukkan khusus untuk tujuan Bantuan Awal Persekolahan (BAP), demikian menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan bayaran BAP sebanyak RM150 kepada setiap murid secara one-off (sekali bayar) yang akan disalurkan bermula Januari 2024, memberi manfaat kepada lebih 5.25 juta murid.

“Bayaran akan disalurkan melalui sekolah dan diagihkan kepada murid secara tunai atau kredit ke akaun masing-masing,” menurut kenyataan itu susulan kebimbangan sesetengah pihak tentang ketiadaan BAP dalam pengumuman Belanjawan 2024 seperti dilaporkan media.

KPM menjelaskan BAP dapat membantu meringankan beban perbelanjaan ibu bapa atau penjaga dalam menyediakan kelengkapan anak-anak bagi menghadapi sesi persekolahan akan datang.

Orang ramai dinasihatkan merujuk laman web khas https://belanjawan.mof.gov.my/ms/ bagi mendapatkan maklumat tepat berhubung Belanjawan 2024.

– BERNAMA


Pengarang :