Ana Maria Salihuddin, 36, menerima cek cura daripada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada majlis perasmian Tekad Insani #KitaSelangor di Pusat Konvensyen Bangi, Kajang pada 4 Ogos 2023. Foto AHMADZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

BNM sahkan skim insurans percuma negeri tidak langgar maklumat peribadi

SHAH ALAM, 12 OKT: Bank Negara Malayisa (BNM) mengesahkan tiada pelanggaran maklumat peribadi pelanggan dalam skim insurans percuma yang ditawarkan Kerajaan Selangor.

Perdana menteri berkata pengesahan berkait Skim Insuran Am Selangor (INSAN) berdasarkan Akta Perkhidmatan Kewangan dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam, lapor Malaysia Gazette.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan BNM berpendapat pelanggan dengan rela bersetuju untuk mendapatkan perlindungan dengan memberi maklumat peribadi melalui aplikasi Wavpay.

“Pihak BNM mendapati isu pendaftaran pelanggan secara haram yang dibangkitkan berkaitan dengan polisi atau sijil induk yang dikeluarkan secara bernama,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (Perikatan Nasional-Larut) berkenaan tindakan yang diambil ke atas pihak yang terlibat dalam “skandal” INSAN.

Anwar menambah BNM mendapati skim itu merupakan inisiatif Kerajaan Selangor untuk memberi perlindungan insurans atau takaful kemalangan diri secara percuma kepada rakyat seawal usia 30 hari.

Beliau menjelaskan skim insurans atau takaful kemalangan diri berkumpulan bawah INSAN juga tidak memerlukan kelulusan dari BNM, namun boleh disemak jika perlu.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan prapendaftaran skim itu dibuat melalui perolehan data awam daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurutnya, maklumat tersebut dibenarkan bagi perlindungan insurans, namun penerima notifikasi perlu mengesahkan pendaftaran mereka sekiranya berminat mendapatkan polisinya.

 


Pengarang :