Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon tengah JKDM Norlela Ismail menunjukkan barang rampasan membabitkan cukai RM4,621,430 selepas sidang media pada 12 Oktober 2023. Foto Facebook JKDM WPKL
AGENDAJENAYAH

Cubaan seludup ayam beku, minuman keras, rokok gagal

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur menggagalkan cubaan menyeludup masuk ayam sejuk beku, minuman keras dan rokok membabitkan cukai berjumlah RM4,621,430.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon tengah JKDM Norlela Ismail berkata modus operandi bagi kes kontena adalah pengikraran palsu pada borang kastam manakala bagi kes rokok seludup, adalah penyimpanan melalui stor pukal.

Beliau berkata dalam kes pertama, pasukan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Unit I (WPKL) menggagalkan cubaan membawa masuk dagangan sejuk beku disyaki keratan ayam dan ayam bulat seberat 56 tan dianggarkan bernilai RM280,000 menggunakan dua kontena di Pelabuhan Utara pada 7 Ogos lalu.

“Pemeriksaan dilakukan bersama wakil ejen menemukan dagangan keratan ayam sejuk beku disyaki tidak berkastam kerana tidak memiliki lesen import dari Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

“Selain itu, pengimport turut gagal mengemukakan sijil halal dikeluarkan Badan Pensijilan Halal negara pengeksport yang diperakukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sindiket membuat pengikraran mengelirukan iaitu frozen foodstuff pada borang kastam bagi mengaburi pihak berkuasa.

Bagi kes kedua, Norlela berkata pihaknya berjaya mematahkan cubaan menyeludup 25,920 liter minuman dengan anggaran nilai rampasan RM872,730 selepas menahan sebuah kontena di pelabuhan sama pada 9 Ogos.

“Wakil perkapalan gagal mengemukakan dokumen berkaitan kelulusan pengimportan dagangan dan telah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Menurut Norlela dalam kes ketiga, pasukan operasi mematahkan aktiviti pembekalan rokok seludup melalui serbuan terhadap sebuah gudang di Kawasan Perindustrian Balakong Jaya, Selangor pada 22 Ogos.

“Pemeriksaan rapi di gudang itu menemukan 5,186,400 batang rokok putih dan kretek disyaki tidak berkastam pelbagai jenama membabitkan cukai berjumlah RM3,468,700, selain turut disita tiga lori bonded yang digunakan sebagai pengangkutan bagi pembekalan di kawasan sekitar.

“Berdasarkan sumber risikan, lokasi itu dipercayai telah tiga bulan menjalankan aktiviti pembekalan rokok dan menjadikan gudang terpencil sebagai tempat menyimpan rokok seludup,” katanya.

Norlela berkata kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Peraturan 42(1) Peraturan-peraturan Kastam 2019.

– BERNAMA


Pengarang :