BUDAYARENCANA

Bunga liar

telah tertulis untuk mereka
diusir dari tanah kelahiran dan kehidupan
diburu bagaikan haiwan
dihancur harapan
oleh zionis yang kelaparan
mereka berlari–lari dalam kuning daffodil
yang mengucapkan selamat tinggal
pada degup hati Palestina
Ramallah, hanya tinggal kenangan
dalam ingatan yang dililit kematian

telah tersusun untuk mereka
keranda–keranda maut di hujung mekar musim
bunga liar yang mengucapkan ketibaan
mentari terakhir kota di celah–celah konkrit kehancuran
yang masih menyimpan seribu jasad tak bernyawa
untuk tatapan seisi dunia dalam hidangan berita–berita
dan secawan kopi pagi jiwa–jiwa yang memusuhinya
kerana kematian itu lebih mengasyikkan
dan mengenyangkan penontonnya
telah tersimpan untuk mereka
/demi at–tin dan zaitun/moga merah ledaknya/sirna/.

 

Angelo Taj


Pengarang :