(Foto hiasan) Seramai 31,140 belia berusia 35 tahun ke bawah didaftarkan sebagai bankrap sejak 2014 hingga Mei 2023 berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Dasar Peluang Kedua diperluas kepada golongan bawah 40 tahun

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Selaras dengan dasar Kerajaan Perpaduan untuk membela nasib rakyat, Dasar Peluang Kedua akan diperluaskan kepada golongan muda berusia 40 tahun dan ke bawah yang mempunyai hutang tidak melebihi RM200,000 bermula tahun hadapan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setakat Julai lepas, hampir 14,000 kes muflis dengan hutang kecil di bawah RM50,000 telah dilepaskan daripada kebangkrapan.

“Hasil pelaksanaan Dasar Peluang Kedua, Akta Insolvensi (Pindaan) 2023 juga telah melepaskan secara automatik daripada pengisytiharan muflis bagi kes-kes semasa dan terkebelakang yang mempunyai syarat,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, dalam memastikan nasib rakyat susah untuk mendapatkan keadilan yang saksama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan memperkasa fungsi Jabatan Bantuan Guaman selain menyediakan RM10 juta peruntukan tambahan di bawah Kumpulan Wang Amanah Rakyat Malaysia Luar Negeri.

“Ia bagi membela nasib rakyat yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan serta kes-kes kebajikan lain di luar negara,” kata beliau.

– BERNAMA


Pengarang :