AGENDAJENAYAH

Dua penjaga pusat jagaan kanak-kanak ditahan disyaki dera, lakukan amang seksual

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Polis menahan masing-masing seorang lelaki warga asing dan tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes dera dan amang seksual di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Lembah Jaya Selatan, Ampang semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail dalam kenyataan hari ini berkata kedua-dua suspek berusia 27 tahun itu ditahan 5 petang di Jalan Sri Kemuning susulan dua laporan polis yang dibuat.

“Laporan polis dibuat oleh (mangsa) dua kanak-kanak yatim berumur 13 dan 14 tahun di Balai Polis Ampang Jaya pada 1.36 tengah hari dan 2.03 petang,” katanya.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati punca seorang daripada mangsa dipukul adalah disebabkan bermain telefon di dalam bilik.

“(Mangsa) mengalami lebam di bahagian paha dan betis kiri dan kesan bengkak di pipi kiri manakala seorang lagi pengadu tiada kecederaan,” katanya.

Menurut Mohd Azam, seorang daripada suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau.

“Kedua-dua suspek yang masing-masing bekerja sebagai penjaga dan penjaga sukarelawan di pusat jagaan berkenaan direman sehingga 2 November bermula hari ini,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

– BERNAMA


Pengarang :