ADNSELANGOR

DUN Bandar Utama anjur saringan kesihatan percuma Sabtu ini

SHAH ALAM, 19 OKT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama menganjurkan program pemeriksaan kesihatan percuma pada Sabtu ini.

Wakil rakyatnya Jamaliah Jamaluddin berkata saringan kesihatan itu diadakan di Balai Raya Kampung Sungai Kayu Ara bermula jam 8.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Jelas beliau, mereka yang mahu menyertai program tersebut boleh mendaftar menerusi pautan  http://tiny.cc/KlinikKayuAra.

“Kita telah menganjurkan program ini berulang kali dengan tujuan memberi kesedaran dan galakan kepada penduduk setempat bahawa pentingnya pemeriksaan kesihatan.

“Program ini turut melibatkan kerjasama dengan Hospital Assunta Petaling Jaya. Saya mengalu-alukan penduduk DUN Bandar Utama hadir dan periksa kesihatan anda,” katanya kepada Selangorkini,

Syarat pendaftaran pemohon mestilah warganegara Malaysia dan berpendapatan bawah RM2,500 sebulan.

Manakala, bagi peserta yang berminat untuk memohon kad Social Welfare Outpatient Program (SWOP) Hospital Assunta diminta sertakan salinan slip gaji/ bukti pendapatan bulanan/ surat pengesahan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut berhubung program ini boleh hubungi talian 016-684 9371.


Pengarang :