ADNSELANGOR

DUN Lembah Jaya buka permohonan baucar Jom Shopping Deepavali

SHAH ALAM, 3 OKT: Golongan kurang berkemampuan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya boleh memohon baucar Jom Shopping Deepavali mulai semalam sehingga 6 Oktober ini.

Wakil rakyatnya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau Altimet berkata permohonan baucar beli-belah RM200 boleh dibuat di Pusat Khidmat Rakyat DUN Lembah Jaya dengan menyertakan dokumen lengkap.

Menurutnya dokumen itu ialah salinan kad pengenalan pemohon dan pasangan, sijil kematian bagi pasangan meninggal dunia, bukti pendapatan dan salinan pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Antara syarat kelayakan ialah pemohon mesti pengundi dan menetap di Lembah Jaya manakala pendapatan kasar isi rumah kurang RM1,500 bagi individu bujang dan RM3,000 (keluarga).

“Selain itu ahli keluarga belum mendaftar atau menerima baucar daripada mana-mana DUN,” katanya menerusi Facebook.

Tambahnya, penerima, pasangan atau ahli keluarga yang mendapat Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) dan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) tidak layak memohon baucar berkenaan.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi talian 0182470897 dan hanya permohonan yang berjaya akan dihubungi wakil pusat khidmat DUN.

Jom Shopping Raya diperkenal dengan menyasar golongan berpendapatan rendah sebagai inisiatif jangka panjang bagi memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat mengikut perayaan masing-masing.


Pengarang :