Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengeluarkan saman kepada pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang dalam Operasi Khas Aidiladha Siri 2/2023 di Jalan Pahang, Kuala Lumpur pada 2 Julai 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

175,909 saman kenderaan barangan belum dilunaskan, JPJ lancar operasi

SHAH ALAM, 3 OKT: Sebanyak 175,909 saman aktif membabitkan kenderaan komersial barangan masih belum dilunaskan sejak 2018, kata Pengarah Kanan Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Lokman Jamaan.

Beliau berkata daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan jumlah saman tertinggi sebanyak 61,940 dengan setiap saman yang dikenakan adalah sekurang-kurangnya RM300.

Katanya jumlah itu juga menunjukkan ketirisan kepada pematuhan undang-undang jalan raya dan JPJ akan memastikan pihak terbabit dapat menyelesaikan saman itu supaya pemutihan dapat dilaksanakan kepada pemandu dan syarikat.

“Apabila saman dikeluarkan kita telah memberi tempoh tertentu untuk mereka menyelesaikan, namun mereka masih gagal melaksanakannya.

“Justeru operasi yang bermula awal hingga akhir bulan ini adalah tindakan susulan oleh JPJ untuk mengingatkan mereka supaya mematuhi peraturan,” katanya kepada media pada Majlis Pelancaran dan Pelaksanaan Operasi Kenderaan Komersial, di sini malam tadi.

Dalam pada itu, mengenai operasi itu, beliau berkata setakat kira-kira lebih satu jam pelaksanaan operasi itu 55 lori diambil tindakan.

Katanya daripada sejumlah 239 kesalahan yang dikesan, 23 kesalahan daripadanya adalah tiada lesen memandu atau lesen tamat tempoh.

“23 orang ini tidak mempunyai lesen memandu (atau lesen tamat tempoh) tetapi masih lagi membawa kenderaan komersial yang mengundang bahaya bukan hanya kepada mereka sendiri tetapi pengguna jalan raya lain terutamanya kenderaan kecil.

“Kita selalu lihat, apabila kemalangan membabitkan kenderaan komersial pemandu ini tidak mengalami cedera parah, tetapi pengguna kenderaan kecil akibat kelalaian dan ketidakpatuhan undang-undang pemandu ini,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai Ops Khas Motosikal yang dilaksana sepanjang bulan lalu, Lokman berkata 135,446 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan termasuk tiada perlindungan insurans, tiada lesen memandu yang sah dan melanggar isyarat lalu lintas.

Selain itu katanya, JPJ turut menyita 6,567 motosikal yang diklasifikasikan tidak mematuhi piawaian keselamatan bagi kegunaan di jalan raya.

– BERNAMA


Pengarang :