Tangkap layar temu bual Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Dato’ Johary Anuar ketika tetamu di program Selamat Pagi Malaysia di saluran TV1 pada 17 Oktober 2023.
EXCOSELANGOR

Ekspo penyelidikan himpun pakar pelbagai bidang, kongsi teknologi terkini

SHAH ALAM, 17 OKT: Ekspo Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (SRIE) yang menjadi sebahagian acara Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) mampu mengangkat idea penyelidikan dan inovasi negeri ini ke tahap lebih tinggi.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Dato’ Johary Anuar berkata ekspo itu juga memberi peluang kepada pakar termasuk penyelidik baharu mengetengahkan idea terkini dilakukan mereka dalam pelbagai bidang penyelidikan.

“Pada masa sama, ini juga antara usaha kita memberi galakan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk membangunkan inovasi dalam sektor masing-masing.

“Malah SRIE menghimpunkan pelbagai bidang penyelidikan untuk dipamerkan kepada orang ramai,” katanya dalam Selamat Pagi Malaysia yang bersiaran langsung di TV1 hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan program Inovasi Anak Selangor dan SRIE Idea Banks antara pengisian baharu dalam ekspo edisi keempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 19 hingga 22 Oktober.

“Untuk inovasi anak Selangor, ia melibatkan pertandingan inovasi dalam kalangan komuniti. Kita buat secara dalam talian dan pra acaranya mendapat sambutan lebih 100 penyertaan, manakala 10 produk inovasi mempunyai nilai komersial akan diketengahkan.

“Kita juga adakan SRIE Idea Bank yang merupakan pertandingan mengumpulkan idea bernas masyarakat supaya masyarakat boleh akses kaedah inovasi dalam menyelesaikan masalah harian,” katanya sambil mempelawa orang ramai menyertai SRIE.

Johary menambah sebagai sebuah negeri maju, Kerajaan Selangor sentiasa mendokong agenda membudayakan inovasi selari teras kedua Rancangan Selangor Pertama (RS-1) untuk meningkatkan inklusiviti sosial dan kesejahteraan rakyat.

“Komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkasakan rakyat amat terserlah sekali. Dalam konteks ini, kita tumpu terhadap aspek pembangunan teknologi digital dengan mengadakan pelbagai program pendigitalan melalui kerjasama pihak swasta, rakyat dan pemain industri.

Selain SRIE, SIBS turut mengetengahkan acara lain merangkumi Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman), Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan), Ekspo Taman Perindustrian Selangor, Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor dan Persidangan Perniagaan Asia.

Tangkap layar temu bual EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Dato’ Johary Anuar menjadi tetamu di program Selamat Pagi Malaysia di saluran TV1 pada 17 Oktober 2023.

Pengarang :