Sebahagian kawasan letak kereta di hadapan Terminal Penumpang Kuala Kedah dinaiki air pada awal pagi 7 November 2021 berikutan berlaku fenomena air pasang besar ketika tinjauan di kawasan tersebut. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Empat kawasan berisiko berlaku fenomena air pasang besar di Kedah

ALOR SETAR, 29 OKT: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah mengenal pasti empat kawasan berisiko berlaku air pasang besar bermula hari ini iaitu di sepanjang pantai Kuala Kedah, Kota Kuala Muda, Kuala Yan dan Kuala Jerlun.

Pengarah APM Kedah Leftenan Kolonel (PA) Zairil Anuar Zulmuji berkata fenomena itu boleh mengakibatkan paras ombak mencecah tiga meter dan lebih buruk menyebabkan banjir di kawasan rendah jika berlaku hujan lebat.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang mendiami pesisir pantai atau melakukan aktiviti riadah di kawasan itu agar berhati-hati dengan perubahan paras air laut.

“Air pasang berlaku sekitar 12.47 tengah malam tadi, pada esok (Isnin) pukul 1.16 pagi dan Selasa pada 1.45 pagi dan dijangka paras ombak boleh meningkat hingga tiga meter atau lebih tinggi lagi dari kebiasaan dan membahayakan bot kecil,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Zairil Anuar berkata pihaknya sentiasa bersiap sedia dengan membuat pemantauan di kawasan berisiko dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika keadaan membahayakan orang ramai.

Menurutnya seramai 1,100 anggota APM selain aset termasuk bot dan kenderaan darat diletakkan dalam keadaan siap siaga.

“Jika berlaku kenaikan air yang mendadak, orang ramai diingatkan bersedia untuk pindah ke tempat selamat atau pindah ke pusat pemindahan sementara, jangan biarkan anak anak bermain air, peka kepada amaran pihak berwajib dan jaga keselamatan keluarga,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :