AGENDANASIONAL

Gombak, Petaling, Hulu Langat antara kawasan diramal hujan lebat hingga 7 malam

SHAH ALAM, 10 OKT: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang di Selangor sehingga jam 7 malam ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi Facebook memaklumkan keadaan sama diramal melanda seluruh Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pulau Pinang.

Beberapa daerah di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor, Sarawak dan Sabah juga dijangka mengalami cuaca sama.

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :