Jabatan Bomba dan Penyelamat Balai Bestari Jaya menggunakan bot fiber untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap susulan banjir di Ijok, Kuala Selangor pada 4 Jun 2023. Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor
AGENDANASIONAL

Hadapi banjir, bomba tempatkan aset udara, air di tiga zon

BALIK PULAU, 10 OKT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menempatkan aset udara dan air di tiga Zon Pantai Timur, Utara dan Selatan Semenanjung sebagai persiapan awal menghadapi banjir susulan peralihan fasa monsun timur laut (MTL) yang dijangka bermula bulan depan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata bagi Zon Pantai Timur, pihaknya akan menempatkan sebahagian aset udara di Akademi Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai, Terengganu; Zon Utara di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda bagi aset air dan aset udara di Pangkalan Udara Wilayah Utara JBPM di Bertam; manakala aset di Zon Selatan ditempatkan di BBP Ayer Hitam, Johor.

Katanya, penempatan awal aset di tiga zon terbabit adalah sebagai langkah mempercepatkan pergerakan operasi menyelamat sekiranya berlaku bencana terutama banjir.

“Jika dulu bila banjir baru kita pergi, tetapi sekarang kita ambil kaedah lokasi strategik yang selalu banjir bagaimana kita boleh letakkan aset supaya kita dapat bergerak dengan lebih cepat.

“Kita tak mahu bila banjir nanti jalan putus dan kita tak boleh nak akses dengan cepat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Konvensyen Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Zon Utara di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut mengambil iktibar bencana pada 2021 yang menyebabkan sebahagian kawasan di Gua Musang, Kelantan dan Hulu Langat di Selangor terputus hubungan akibat tanah runtuh hingga menyukarkan bantuan awal disalurkan kepada mangsa.

Menurut Nor Hisham sebanyak 4,975 lokasi membabitkan 79 daerah dikenal pasti menjadi ‘hot spot’ banjir di seluruh negara dengan paling banyak di kawasan Pantai Barat dan Pantai Timur Semenanjung.

Katanya, semua maklumat itu telah dikongsikan di peringkat balai, zon dan negeri supaya persediaan awal dapat dibuat.

Sementara itu, Nor Hisham berkata pihaknya berharap kerajaan dapat meluluskan cadangan supaya geran tahunan PBS dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM10,000 pada pembentangan bajet akan datang.

Katanya sesi libat urus telah dibuat antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama Kementerian Kewangan baru-baru ini dan berharap ia diambil perhatian demi mendukung usaha ke arah memperkasakan PBS.

Beliau berkata pihaknya turut menyasarkan untuk menubuhkan 500 PBS di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak menjelang 2030 berbanding 348 PBS ketika ini.

“Setakat ini, pihak kami sudah selesai membuat pemetaan lokasi. Kalau sebelum ini komuniti yang datang kepada kita untuk tubuhkan pasukan, kini kita yang turun padang tentukan lokasi wajar untuk tubuh PBS mengikut keperluan risiko di kawasan terbabit,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :