Grafik BERNAMA
AGENDANASIONAL

HDC bakal bina platform digital baharu untuk pendekkan tempoh proses sijil halal

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Halal Development Corporation Bhd (HDC) akan membina platform digital baharu yang akan mengintegrasi aplikasi dan sistem sedia ada, selaras dengan hasrat kerajaan untuk memendekkan tempoh memproses pensijilan halal daripada 51 hari kepada 30 hari dalam Belanjawan 2024.

Pengerusi HDC Khairul Azwan Harun berkata platform digital tersebut adalah bagi membantu proses bermula daripada pra-pensijilan hingga kepada kelulusan dan pasca-pensijilan.

“HDC yakin tempoh kelulusan yang dipendekkan kepada 30 hari seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dapat dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri berkata HDC bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menerajui usaha memudah cara pemprosesan pensijilan halal khususnya untuk pengeksport produk halal.

Sementara itu Khairul berkata HDC akan bekerjasama dan mengadakan sinergi dengan Jakim dan agensi berkaitan untuk mempercepatkan proses tersebut bagi meningkatkan nilai dagangan eksport produk halal Malaysia ke pasaran global serta menambah bilangan jumlah syarikat pengeksport yang memiliki sijil halal.

– BERNAMA


Pengarang :