Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang juga ahli Parlimen Gombak ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada 13 Oktober 2023. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Sambut baik Belanjawan 2024, Selangor bakal kukuhkan lagi dalam belanjawan negeri

SHAH ALAM, 14 OKT: Kerajaan Negeri akan memanfaatkan pengukuhan sektor logistik dan pelabuhan seperti terkandung dalam Belanjawan 2024 yang dibentang semalam.

Dato’ Menteri Besar berkata pentadbiran juga akan memperincikan lagi sektor teknologi dan inovasi menerusi Belanjawan Selangor 2024 yang bakal dibentang bulan depan.

Selaku Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Amirudin Shari mendukung hasrat menjadikan ekonomi negara paling kuat dan tahan uji di Asia Tenggara sekali gus tersenarai antara 30 ekonomi terbesar dunia menjelang 2030.

“Pelbagai tekad seperti sokongan kepada syarikat mikro mahupun perusahaan kecil dan sederhana diikhtiarkan supaya dapat bersaing bukan sahaja di Malaysia tetapi syarikat lain di luar negara.

“Ini termasuk insentif industri kenderaan elektrik malah komitmen paling besar dalam sejarah diberikan kepasa sektor pendidikan bagi membina generasi berwawasan,” katanya di Facebook.

Beliau menyambut baik dan menyokong penuh perbentangan semalam dan menyifatkan rancangan berbelanja itu meliputi kepentingan nasional serta negeri.

“Insya-Allah saya akan mengulas dan membahaskan lebih lanjut berkenaan ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi perbahasan Selasa depan,” katanya.

Semalam perdana menteri membentang Belanjawan 2024 bertemakan ‘Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat’ berjumlah RM393.8 bilion, paling tinggi dalam sejarah belanjawan negara.

Ia turut merangkumi rancangan pemantapan ekosistem dann kecekapan pelabuhan negara selain cadangan pembangunan pelabuhan di Pulau Carey bajal direalisasikan melalui Request for Proposal (RFP) dalam memperkukuh lagi peranan Pelabuhan Klang.


Pengarang :