Eksekutif Kewangan Yayasan Hijrah Selangor (kanan) bersama salah seorang usahawan yang menjadi vendor dalam Hijrah Official Store pada 2 Oktober 2023. Foto Facebook Hijrah Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Hijrah Selangor anjur Jualan Wow 10.10, bantu tingkat pendapatan usahawan

SHAH ALAM, 6 OKT: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) mengadakan Jualan Wow 10.10 secara langsung di aplikasi TikTok pada Selasa depan bagi membantu meningkatkan pendapatan usahawannya.

Eksekutif Promosinya Muhammad Ihsan Mohamad Rosdi Kamal berkata, jualan itu adalah fasa kedua dan melibatkan lima usahawan yang akan mempromosikan produk masing-masing.

“Untuk fasa pertama pada 9 September lalu dua usahawan terlibat dan peroleh nilai jualan RM327. Kita lihat ada keberkesanannya dan meneruskan pada 10 Oktober depan.

“Dengan penglibatan lebih ramai usahawan kali ini diharap dapat membantu usahawan meningkatkan jualan perniagaan mereka,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sehubungan itu, beliau mempelawa orang ramai mengikuti jualan Wow Hijrah Selangor di TikTok Live di akaun rasmi @hijrahselangorofficial dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari (sesi pertama) dan jam 2 hingga 5 petang (sesi kedua).

Sebelum ini, Hijrah Selangor membuat jualan TikTok Live sempena 9 September dan Hari Malaysia.

Hijrah Selangor menyasarkan 600 usahawan menyertai program Strategi Super TikTok yang dijalankan dengan kerjasama Kumpulan Perangsang Selangor Berhad yang menyediakan 15 kelas bermula Jun sehingga November ini.

Program berkenaan membantu usahawan mempromosi produk menerusi aplikasi TikTok agar mampu meningkatkan jualan sekali gus menjadikan mereka lebih berdaya saing dalam perniagaan secara fizikal dan juga atas talian.

Hijrah Selangor menyalurkan RM300,000 bagi menjayakan program berlandaskan pendigitalan melibatkan usahawannya.


Pengarang :