Pemain beregu campuran Malaysia, Goh Soon Huat dan Shevoi Lai beraksi menentang pemain Thailand, Supak Jomkoh dan Supissara Paewsampran dalam acara beregu campuran pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di Stadium Gymnasium Binjiang pada 4 Oktober 2023. Foto Facebook Bernama
AGENDASUKANKINI

Sukan Asia: Lepasi sasaran 27 pingat, kontinjen negara buru bonus

Daripada R Vikneswaran

HANGZHOU, 6 OKT: Selepas 12 hari ‘berperang’ di bumi Hangzhou, kontinjen Malaysia berjaya melepasi sasaran 27 pingat dan kini meneruskan perjuangan untuk memburu pingat bonus.

Semalam kontinjen negara membawa senyuman kepada peminat sukan tanah air apabila merangkul dua emas, dua perak dan satu gangsa untuk mengumpul lima emas, enam perak dan 17 gangsa secara keseluruhan atau sejumlah 28 pingat.

Kem skuasy terus cemerlang apabila menyumbangkan dua butir emas, masing-masing daripada Ng Eain Yow dan S Sivasangari menerusi acara perseorangan lelaki dan wanita manakala Mohammad Syafiq Mohd Kamal-Aifa Azman bawa pulang perak dalam beregu campuran.

Pasukan skuasy menutup tirai saingan Sukan Asia dengan keseluruhan tiga emas, satu perak dan satu gangsa selepas merangkul emas acara berpasukan wanita dan gangsa berpasukan lelaki pada Sabtu lalu.

Sementara itu, atlet karate muda, Lovelly Anne Robberth mendapat pengiktirafan sebagai pelengkap sasaran selepas meraih pingat ke-27 negara apabila meraih perak acara kata individu wanita setelah tewas kepada pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020, Kiyou Shimizu dari Jepun.

Kem memanah akhirnya menghadiahkan sebutir pingat apabila trio Mohd Juwaidi Mazuki, Alang Ariff Aqil Muhammad Ghaz dan Mohamad Syafiq Md Ariffin mempertahankan gangsa acara compound berpasukan lelaki yang dimenangi oleh Mohd Juwaidi, Alang Ariff dan Lee Kin Lip pada edisi lepas.

Di Gimnasium Binjiang, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memastikan kem badminton tidak pulang tangan kosong buat kali kedua berturut-turut selepas mengatasi wakil turun rumah Yu Chen-Ou Xuan Yi 21-18, 19-21, 21-18 selepas pertarungan sengit selama 81 minit.

Kesemua wakil negara lain di badminton termasuk pemain perseorangan lelaki utama, Lee Zii Jia tersingkir.

Cabaran negara di Sukan Asia, akan diteruskan dalam ekuestrian, badminton, jiu-jutsu, sepak takraw, gimrama dan karate hari ini.

Pasukan hoki lelaki pula berdepan Pakistan dalam aksi penentuan tempat kelima selepas gagal mara ke separuh akhir sebagai dua pasukan teratas Kumpulan B.

– BERNAMA


Pengarang :