Seorang kanak-kanak warga Palestin duduk di rumahnya yang musnah dalam serangan udara Israel di bandar Deir al-Balah, Semenanjung Gaza pada 12 Mei 2023. Foto REUTERS
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jais seru semua masjid, surau laksana solat hajat untuk Palestin

SHAH ALAM, 10 OKT: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyeru semua masjid dan surau di negeri ini melaksanakan solat hajat dan bacaan Qunut Nazilah selama tujuh hari berturut bagi mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin.

Pengarah Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata Jais mengutuk sekeras-kerasnya tindakan serangan ke atas rakyat Palestin di Semenanjung Gaza termasuk menyokong penuh apa jua tindakan mereka dalam mempertahankan tanah air Baitul Aqsa.

“Jais menyeru semua masjid dan surau di Selangor bersolidariti melaksanakan solat hajat selepas solat Maghrib atau Isyak dan bacaan Qunut Nazilah selama tujuh hari berturut-turut.

“Semoga kemenangan dan keamanan buat rakyat Palestin akan tercapai dengan doa seluruh umat Islam lalu memperoleh bantuan dari Allah, amin,” katanya menerusi kenyataan.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza, dan rejim Israel sejak 7 Oktober telah mengakibatkan kehilangan ratusan nyawa kedua-dua belah pihak.


Pengarang :