Orang ramai berbelanja di Jualan Ehsan Rahmah (JER) di pasar raya Segi Fresh Telok Panglima Garang pada 30 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah barangan dapur di empat pasar raya Segi Fresh esok

SHAH ALAM, 13 OKT: Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan kerjasama pasar raya Segi Fresh diteruskan di empat lokasi, esok.

Program jualan murah barangan dapur seperti ayam, ikan dan minyak masak itu diadakan di cawangan Segi Fresh Saujana Utama, Sungai Besar, Batang Kali dan Pulau Indah.

“Dapatkan barangan keperluan asas yang murah dan berkualiti. Kami bekerjasama dengan PKPS dalam memberikan manfaat kepada yang memerlukan terutama berpendapatan rendah yang terkesan kenaikan kos sara hidup,” maklum Segi Fresh di Facebook.

Pasar raya itu dilantik sebagai rakan strategik PKPS bagi pelaksanaan program JER termasuk penyediaan lokasi jualan dan logistik di 55 premis rangkaian Segi Fresh seluruh Selangor.

Jualan murah itu sebahagian daripada memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara PKPS dan Segi Fresh, Julai lalu bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Selain bekerjasama dengan Segi Fresh, PKPS turut menganjurkan JER di lokasi terpilih seluruh negeri pada setiap hari kecuali Jumaat.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS


Pengarang :