Orang ramai membeli barangan keperluan asas pada program Jualan Ehsan Rahmah DUN Seri Serdang di Jalan LEP, Subang Jaya pada 23 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Jualan murah diteruskan tahun depan, libat peruntukan RM10 juta

SHAH ALAM, 27 OKT: Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang diperkenalkan tahun lalu bagi meringankan beban rakyat diteruskan tahun depan melibatkan peruntukan RM10 juta.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata program jualan murah barangan asas itu akan ditambah baik bagi memberi manfaat lebih banyak kepada penduduk.

“JER akan diteruskan tahun depan. Kita terima peruntukan tambahan RM10 juta dan akan lakukan penambahbaikan,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan RM1 juta Kerajaan Negeri kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin hari ini.

Program intervensi itu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Penduduk memilih barangan asas dalam Jualan Ehsan Rahmah DUN Balakong di Taman Tun Perak pada 19 Oktober 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH/ SELANGORKINI

Setakat Julai, penganjuran JER diadakan di lebih 2,400 lokasi dengan mencatat nilai jualan RM60 juta termasuk pemberian subsidi bersasar lebih RM20 juta dari Kerajaan Negeri.

Sementara itu Izham berkata Selangor menjadi negeri pertama yang mempunyai simpanan bekalan makanan sebagai langkah keterjaminan makanan.

Jelasnya program melibatkan kerjasama beberapa pihak sedang mengenal pasti bekalan sesuai disimpan berikutan bahan makanan mempunyai tarikh luput.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Ir Izham Hashim bercakap kepada media selepas majlis penyerahan sumbangan untuk Palestin di Bilik Mesyuarat MTES, Shah Alam pada 27 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kali ini kita guna kaedah berbeza. Kita nak lihat cara urus makanan kalau ada bencana. Contohnya simpanan beras, sekurang-kurangnya tahan tiga bulan (bekalan).

“Kita akan simpan di gudang. Sekarang sedang kenal pasti makanan sesuai macam beras dan sumber protein lain,” katanya.


Pengarang :