Suasana di Zon Bebas Komersil (FKZ) MasKargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Kastam gagalkan cubaan seludup dadah bernilai lebih RM1.3 juta di KLIA

PUTRAJAYA, 4 OKT: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan dua cubaan menyeludup dadah jenis kokain, heroin dan ketamin seberat hampir 10 kilogram (kg) bernilai hampir RM1.3 juta, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, pada 27 Sept lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Sazali Mohamad berkata kes pertama melibatkan cubaan menyeludup dadah jenis kokain seberat 3.85 kg dengan anggaran harga pasaran RM770,000 oleh seorang lelaki warga Korea berusia 83 tahun yang memasuki Malaysia menggunakan pas pelancong.

“Dadah berkenaan disembunyikan di dalam bagasi yang telah diubah suai bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suspek telah ditahan pada hari sama dan kini direman sehingga 12 Okt ini.

Bagi kes kedua, Sazali berkata Pegawai Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1, JKDM KLIA telah menahan dan memeriksa bagasi seorang penumpang lelaki warganegara tempatan berusia 21 tahun yang mengambil bagasinya dari kaunter ‘Lost & Found’ milik sebuah syarikat penerbangan di Malaysia setelah membatalkan penerbangannya ke luar negara.

“Semasa pengimbasan dilaksanakan menggunakan mesin pengimbas bagasi, pegawai dan anggota yang bertugas telah mengesan objek dan imej kehijauan yang mencurigakan di dalam sebuah kotak permainan dan enam kotak makanan milik penumpang tersebut yang disyaki dadah,” katanya.

Hasil pemeriksaan lanjut, menemukan sejumlah 14 bar yang mengandungi mampatan serbuk putih disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 4.95kg bernilai kira-kira RM438,000 dan lima paket mengandungi ketulan kristal yang disyaki dadah jenis ketamin dengan anggaran setiap satu kg bernilai kira-kira RM60,000, katanya.

Sazali berkata siasatan awal mendapati kedua-dua jenis dadah berkenaan telah diterima oleh lelaki berkenaan daripada sindiket yang dipercayai bergiat aktif di Lembah Klang untuk dibawa keluar dari Malaysia.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

– BERNAMA


Pengarang :