Pelanggan memilih beras di sebuah pasar raya di Semenyih pada 28 Jun 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pemeriksaan kilang, pemborong padi, beras bermula hari ini

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Pemeriksaan di peringkat pengilang dan pemborong padi dan beras di seluruh negara menerusi Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan (OP BPT) bermula hari ini.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan operasi yang melibatkan pemeriksaan di 93 kilang, 130 pemborong dan peruncit itu turut meliputi pemeriksaan di sempadan negara dan pelabuhan utama.

“KPKM menegaskan bahawa tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menukar kampit atau mencampurkan BPT dengan Beras Putih Import (BPI) atau menyembunyikan bekalan BPT,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu berkata bahawa Mesyuarat Penyelarasan Task Force Khas Operasi Bersepadu BPT (OP BPT) yang dipengerusikan Timbalan Menterinya Chan Foong Hin semalam memperincikan terma dan syarat serta prosedur operasi standard (SOP) terhadap pemeriksaan dan penguatkuasaan di semua peringkat rantaian pembekalan BPT.

Mesyuarat itu melibatkan Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bahagian Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (MAQIS).

“Task force ini turut melibatkan Jabatan Kimia dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sebagai badan teknikal yang akan melakukan analisis kimia bagi menguji sampel beras yang diambil dan dijadikan satu daripada elemen pembuktian dalam proses pendakwaan,” katanya.

Selain itu, beberapa perkara lain turut dipersetujui termasuk menurunkan kuasa kepada agensi-agensi penguatkuasaan di bawah Seksyen 6, Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994 (Akta 522) serta mewujudkan Bilik Gerakan bagi Task Force Khas Bersepadu BPT di kementerian.

– BERNAMA


Pengarang :