EXCO Pengurusan Bencana Najwan Halimi melihat bot polis yang dipamer pada majlis pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut dan Kempen Keselamatan Aktiviti di Air di Taman Tasik Cyberjaya, Sepang pada 28 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Lebih 1,500 anggota bomba Selangor siap siaga hadapi Monsun Timur Laut

SEPANG, 29 OKT: Seramai 1,553 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor bersiap siaga menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku pada November hingga Mac tahun depan.

Pengarahnya Wan Md Razali Wan Ismail berkata kesemua anggotanya sudah menjalani latihan pengukuhan pengendalian bot dan latihan menyelamat di air.

“Kita turut menambah bot dari 46 kepada 81 unit dan pemeriksaan aset turut dilakukan secara berkala bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik ketika diperlukan.

“Kita turut dibantu pasukan bomba sukarela dan kerjasama dengan beberapa agensi lain bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku bencana ketika MTL,” katanya ketika ditemui semalam.

Terdahulu beliau menghadiri majlis pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Menghadapi MTL dan Kempen Keselamatan Aktiviti Air yang disempurnakan EXCO Pengurusan Bencana Najwan Halimi di Taman Tasik Cyberjaya di sini.

EXCO Pengurusan Bencana Najwan Halimi mendengar penerangan dari Penolong Pegawai Takbir Skuad Pantas MP Sepang, Mohd Syafiq Rosli mengenai khidmat Skuad Pantas ketika majlis Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Monsun timur laut dan program keselamatan aktiviti di air di Taman Tasik Cyberjaya, Sepang pada 28 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Wan Md Razali berkata cuti bagi semua anggota turut dibekukan mengikut keperluan dan waktu bekerja juga akan bertukar kepada 24 jam bergantung kepada situasi semasa.

Beliau menambah, pihaknya mengenal pasti 390 lokasi berisiko banjir dengan Hulu Langat mencatatkan bilangan kawasan tertinggi iaitu 78 dan Klang (65).

Manakala, beliau berkata Sepang turut mencatatkan lokasi berisiko banjir melibatkan 54 kawasan diikuti Kuala Selangor (51), Petaling (44), Gombak (33), Kuala Langat (30), Sabak Bernam (20) dan Hulu Selangor (15).

EXCO Pengurusan Bencana Najwan Halimi menaiki bot penyelamat bomba pada Majlis Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut dan Kempen Keselamatan Aktiviti di Air di Taman Tasik Cyberjaya, Sepang pada 28 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :