Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr G Gunaraj bergambar bersama peserta program Kesedaran, Kebersihan Gotong Royong di Pangsapuri Bandar Bukit Tinggi 2, Klang pada 8 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Lebih 300 penduduk sertai gotong-royong, kutip 1,500 kg sampah

KLANG, 8 OKT: Lebih 300 penduduk dibantu sukarelawan Junior Chamber International (JCI) Bandar Klang mengutip 1,500 kg sampah menerusi program gotong-royong di Pangsapuri Bandar Bukit Tinggi 2, di sini.

Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr G Gunaraj berkata program yang bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari bertujuan memastikan kawasan kediaman berkenaan bersih dan terhindar dari penularan denggi.

“Di sini ada 12 blok dan lebih 1,600 unit kediaman. Saya difahamkan sebelum ini kerap berlaku kes demam denggi di setiap blok berpunca dari persekitaran yang kurang bersih.

“Justeru, JCI Bandar Klang bersetuju untuk bekerjasama dengan Pejabat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa menganjurkan gotong-royong ini,” katanya ditemui pada program berkenaan.

Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr G Gunaraj melancarkan Tekad 2 DUN Sentosa: Inisiatif Hijau dan Bersih ketika program Kesedaran, Kebersihan Gotong Royong di Pangsapuri Bandar Bukit Tinggi 2, Klang pada 8 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, Dr G Gunaraj turut melancarkan Tekad 2 DUN Sentosa: Inisiatif Hijau dan Bersih bagi memastikan kawasan kediaman di DUN Sentosa sentiasa lestari seiring tekad Majlis Perbandaran Klang menuju status bandar raya.

“Terima kasih kepada penduduk dan JCI Bandar Klang yang memberi kerjasama turun padang membersihkan persekitaran Pangsapuri Bandar Bukit Tinggi 2 hari ini.

“Saya berharap sikap ini diteruskan dan tidak terhenti setakat ini sahaja, malah diamalkan setiap hari bagi memastikan persekitaran kediaman kita sentiasa bersih,” katanya.

Sukarelawan Junior Chamber International (JCI) Bandar Klang mengambil bacaan timbangan sampah yang dikutp penduduk yang menyertai program Kesedaran, Kebersihan Gotong Royong di Pangsapuri Bandar Bukit Tinggi 2, Klang pada 8 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

 


Pengarang :