Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Mohd Zulkurnain Che Ali melepaskan peserta kayuhan santai sempena Hari Tanpa Kenderaan Subang Jaya yang ke-14 di Subang Jaya pada 1 Oktober 2023. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Lebih 300 peserta sertai kejohanan lumba basikal jalan raya anjuran MBSJ

SUBANG JAYA, 1 OKT: Lebih 300 peserta menyertai kejohanan perlumbaan basikal jalan raya ‘Selangor Criterium Series X Subang Jaya 2023’ anjuran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) hari ini.

Timbalan Datuk Bandarnya Mohd Zulkurnain Che Ali berkata melibatkan pelbagai kategori, siri perlumbaan basikal jalan raya itu diasaskan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Yayasan Raja Muda Selangor kerana bekerjasama dengan MBSJ selain Subang Parade, Aeon Big, polis dan lain-lain kerana tanpa mereka kita tidak boleh adakan program pada hari ini.

“Hari ini juga ramai pelumba peringkat kebangsaan terlibat dengan kejohanan ini yang menjadi kebanggaan buat warga MBSJ dan Subang Jaya,” katanya selepas majlis pelepasan peserta Selangor Criterium Series X Subang Jaya 2023 di sini, hari ini. Turut hadir Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang Abbas Azmi.

Peserta kejohanan perlumbaan basikal jalan raya ‘Selangor Criterium Series X Subang Jaya 2023’ anjuran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada 1 Oktober 2023. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

Mohd Zulkurnain berkata pihaknya bersedia menganjurkan kejohanan sama pada tahun depan dengan menambah baik beberapa aspek.

“Kita akan tambah baik kelemahan yang ada supaya menepati standart Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI). Kita harapkan dapat masuk kalender UCI dan boleh bawa pelumba basikal antarabangsa ke Subang Jaya,” katanya.

Pelaksanaan kejohanan Selangor Criterium Series X Subang Jaya 2023 dilaksanakan bersekali dengan program Hari Tanpa Kenderaan Subang Jaya yang ke-14 membabitkan lebih 20 aktiviti santai, pertandingan, demonstrasi, pameran serta jualan diadakan.

Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk senam robik, kayuhan santai, luncur keluang, refleksologi percuma, kaunter bergerak cukai taksiran, pemeriksaan kesihatan dan mata serta pameran penghasilan baja kompos MBSJ.

Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Mohd Zulkurnain Che Ali melepaskan peserta kayuhan santai sempena Hari Tanpa Kenderaan Subang Jaya yang ke-14 di Subang Jaya pada 1 Oktober 2023. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

Pengarang :