Keadaan kereta jenis Perodua Bezza yang remuk selepas bertembung dengan kereta jenis BMW dipandu seorang wanita secara melawan arus di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, George Town pada 1 Oktober 2023. Foto Facebook Tanpa Nama
AGENDANASIONAL

Lelaki cedera kereta dipandu bertembung BMW lawan arus

GEORGE TOWN, 2 OKT: Seorang lelaki mengalami kecederaan di bahagian perut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kereta jenis BMW yang dipandu seorang wanita tempatan secara melawan arus di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong, berkata kemalangan itu berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi di susur keluar Jambatan Pulau Pinang menghala ke pusat bandar.

“Lelaki warga tempatan yang memandu kereta jenis Perodua Bezza dari Sungai Petani, Kedah menuju ke Taman Kristal, Mount Erskine, di sini telah bertembung dengan sebuah kereta jenis BMW berwarna putih yang dipandu oleh seorang wanita dalam keadaan melawan arus.

“Akibat daripada perlanggaran tersebut, lelaki itu mengalami kecederaan pada bahagian perut dan masih menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Pulau Pinang,” katanya, dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pemandu kereta BMW masih menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang akibat kecederaan di bahagian dada.

Soffian, berkata, setakat ini, pihaknya masih belum merekodkan keterangan daripada kedua-dua pemandu itu kerana mereka masih belum dapat diambil ekoran masih menerima rawatan lanjut di hospital.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Timur Laut, Insp Mohd Azli Khairil Mat Lazin di talian 019-5946806 bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata pihak polis menasihati orang awam khususnya pengguna jalan raya agar sentiasa peka terhadap arahan lalu lintas bagi mengelakkan sebarang kejadian kemalangan yang tidak diingini dari berlaku.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa video sebuah kereta jenis BMW berwarna putih memandu secara melawan arus di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dari arah pusat bandar menghala ke Jambatan Pulau Pinang hingga telah menyebabkan perlanggaran dengan sebuah kereta jenis Perodua Bezza.

-BERNAMA


Pengarang :