BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Lepasi sasaran pingat di Sukan Asia ‘ubati’ kegagalan di Kemboja

Selepas 16 hari berjuang, akhirnya Sukan Asia 2022 Hangzhou melabuhkan tirai pada 8 Oktober. Kontinjen negara menoktahkan saingan dengan enam emas, lapan perak dan 18 gangsa.

Melepasi sasaran 27 pingat, Malaysia menduduki kedudukan ke-14 daripada 45 negara bertanding dalam temasya sukan kedua terbesar dunia itu.

Pencapaian itu nyata melegakan selepas kontinjen negara dikritik hebat berikutan kegagalan mencapai sasaran 40 emas di Sukan SEA Kemboja 2023 pada Mei lepas.

Daripada 11 negara bertanding, Malaysia sekadar di kedudukan ketujuh keseluruhan.

Di China, sukan ekuestrian melakar sejarah dengan kilauan emas pertama negara dalam temasya itu menerusi Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil.

 Atlet ekuestrian Mohd Qabil Ambak Muhamad Fathil. Foto Facebook Qabil Ambak

Selepas menyumbang tujuh pingat sejak penampilan sulung Sukan Asia di Bangkok 1998, atlet kelahiran Kuala Lumpur akhirnya menikmati pingat emas yang diidamkan menerusi acara dressage individu.

Pada saingan di Pusat Ekuestrian Tonglu, Qabil Ambak kembali bersama dengan kudanya Rosenstolz, meski menjalani latihan bersama Napoli, kuda lebih muda.

“Napoli lebih muda (10 tahun) dan boleh meraih lebih banyak mata, tetapi tidak mempunyai pengalaman yang cukup untuk temasya besar.

“Penyokong yang ramai dan skrin besar boleh menakutkan kuda. Rosenstolz pula sangat berpengalaman. Saya mengambil risiko yang besar dan hanya berharap juri menyukai persembahan kami,” kata Qabil Ambak seperti dilapor Berita Harian.

Mengikut rekod, Qabil Ambak meraih perak pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia selepas mengumpul dua gangsa masing-masing pada edisi 2010 di Guangzhou, China dan edisi 2006 di Doha, Qatar dalam acara sama.

Selepas 28 tahun mengabdikan diri kepada ekuestrian, atlet berusia 43 tahun itu memutuskan tidak menyertai Sukan Olimpik di Paris, tahun depan.

Emas pertama

Emas pertama negara dituai pada hari keempat temasya berlangsung. Atlet pelayaran wanita Nur Shazrin Mohamad Latif mendapat tempat pertama dalam acara ILCA 6.

Wanita berusia 25 tahun itu mendedikasikan pingat berkenaan kepada jurulatih yang juga pengurusnya Abd Aziz Hashim yang meninggal dunia pada Oktober 2021.

Meski bangga mendapat pingat emas berkenaan, namun beliau sedih kerana tidak dapat berkongsi kejayaan itu bersama Abd Aziz yang membimbingnya dalam dunia pelayaran sejak di bangku sekolah.

Allahyarham Abd Aziz sentiasa memberi motivasi kepada Nur Shazrin untuk meneruskan usaha dalam sukan pelayaran.

“Encik Aziz sentiasa ada dengan saya dan beri semangat untuk saya teruskan usaha, dan akhirnya saya dapat pingat emas.

“Tapi saya tak dapat kongsikan pingat ini bersama arwah yang macam bapa saya, dan emas ini untuk beliau dan keluarga saya,” katanya dipetik Bernama.

Kejayaan anak jati Pekan, Pahang itu membolehkan beliau ke Sukan Olimpik Paris 2024 secara merit dalam acara sama.

Nur Shazrin menjadi atlet pelayaran sejak berumur lapan tahun. Empat adik perempuannya turut menceburi sukan berkenaan.

Nur Afiqah kini jurulatih pelayaran di Pahang manakala Nurliyana atlet bagi kategori laser radial. Dua lagi ialah Nur Syahirah dan Nur Alia Ameera yang mewakili Malaysia dalam sukan itu bagi kategori optimist.

Bekas penerima anugerah olahragawati Pahang itu turut merangkul emas Sukan SEA Singapura 2015 selain mewakili negara dalam Sukan Olimpik Rio, Brazil dan Tokyo, Jepun.

Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi meraih pingat gangsa dalam acara 100m (m) Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China pada 30 September 2023. Foto Facebook Majlis Sukan Negara Malaysia

Tamat kemarau

Acara balapan turut melakar sejarah baharu selepas Muhammad Azeem Fahmi meraih gangsa dalam acara 100 meter (m) lelaki. Kejayaan membanggakan itu turut mengakhiri penantian 41 tahun Malaysia meraih pingat 100m lelaki dalam Sukan Asia.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat acara itu menerusi Datuk Rabuan Pit pada 1982 di Delhi, India.

Berusia 19 tahun, prestasi anak kelahiran Ipoh, Perak itu meningkat hasil latihan keras di Amerika Syarikat.

Tidak ketinggalan, Shereen Samson Vallabouy yang menamatkan penantian 45 tahun memenangi pingat gangsa acara 400m wanita di pentas Sukan Asia.

Kali terakhir negara menggenggam pingat acara menerusi atlet legenda Saik Oik Cum yang meraih emas edisi 1978 di Bangkok, Thailand.

Mengulang pencapaian ibunya Josephine Mary Singarayar yang memperoleh gangsa Sukan Asia di Seoul pada 1986, Shereen mendapat tempat ketiga, dengan catatan masa 52.58 saat (s).

Pemain skuasy negara meraikan kemenangan menumpaskan India di Pusat Ekspo Antarabangsa Hangzhou, China pada 28 September 2023. Foto Facebook Flash Sukan

Tiga emas skuasy

Prestasi pasukan skuasy paling membanggakan dalam temasya di China. Separuh daripada enam pingat emas Malaysia pada Sukan Asia kali ini disumbangkan mereka. Kejayaan dicapai pemain perseorangan wanita Sivasangari Subramaniam dan perseorangan lelaki Ng Eain Yow.

Turut menyumbang, pasukan wanita terdiri daripada Rachel Arnold, S Sivasangari, Aifa Azman dan Aira Azman menewaskan juara edisi Jakarta-Palembang 2018, Hong Kong 2-1.

Pingat emas keenam kontinjen negara di Sukan Asia 2022 muncul menerusi sukan bela diri karate apabila Muhamad Arif Affifudin Ab Malik mengungguli acara kumite 84 kilogram.


Pengarang :