Pengerusi Mais Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (tengah) melancarkan Perkhidmatan Digital Pengurusan Tauliah Mengajar Selangor sempena Multaqa Pendakwah Bertauliah Negeri Selangor di Pusat Konvensyen MBSA , Shah Alam pada 28 Oktober 2023. Foto Facebook Majlis Agama Islam Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mais-Jais perkenal sistem digital urus tauliah mengajar, mudahkan pendakwah

SHAH ALAM, 29 OKT: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memperkenal sistem digital pengurusan tauliah mengajar sempena Multaqa Pendakwah Bertauliah Negeri Selangor semalam.

Mais memaklumkan pengenalan Perkhidmatan Digital Pengurusan Tauliah Mengajar Selangor itu membuktikan agensi penguatkuasaan agama Islam negeri telus dalam urusan pentauliahan.

“Mais dan Jais mahu menyediakan sistem digital yang mampu menghasilkan kualiti kerja yang lebih efektif dan telus dalam pengurusan tauliah di Selangor.

“Ia memudahkan urusan bakal pendakwah, pendakwah sedia dan orang awam membuat urusan berkaitan pentauliahan secara dalam talian berdasarkan kepada modul-modul tersebut,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Sistem digital berkenaan dirasmikan Pengerusi Mais Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof di Pusat Konvensyen MBSA di sini. Turut hadir Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir dan Pengarah Jais Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.

Terdahulu, lebih 600 pendakwah bertauliah dari seluruh Selangor berhimpun di Multaqa Pendakwah Bertauliah Negeri Selangor bagi menambah ilmu serta bertukar pandangan dalam arena dakwah.

Program julung kali itu turut mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, yang amat menitikberat hal melibatkan pengurusan tauliah di negeri ini.


Pengarang :