ADNSELANGOR

Masyarakat India DUN Batang Kali, Hulu Bernam dipelawa mohon baucar beli-belah

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 17 OKT: Masyarakat India di Dewan Undangan Negeri (DUN)  Batang Kali dan Hulu Bernam dengan pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah dipelawa memohon baucar beli-belah sempena Deepavali.

Penyelaras Parlimen Hulu Selangor memaklumkan permohonan inisiatif Jom Shopping bernilai RM200 itu dibuka sehingga 28 Oktober ini, dengan syarat pemohon adalah pengundi di kawasan terbabit.

“Pemohon perlu menyertakan salinan kad pengenalan diri dan pasangan termasuk penyata pendapatan. Selain itu pemohon juga perlu mengemukakan sijil berkaitan sekiranya sudah bercerai dengan pasangan atau meninggal dunia.

“Bagaimanapun penerima Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS) tidak layak memohon baucar ini,” Dr Sathia Prakash Nadarajan di Facebook.

Beliau berkata pemohon boleh menghantar dokumen yang diperlukan di Pusat Khidmat Masyarakat Penyelaras Parlimen Hulu Selangor atau hubungi talian 03-60816392 atau WhatsApp 019-2827129 dan 011-23292976.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM16.48 juta bagi program pemberian baucar Jom Shopping sempena perayaan yang bakal memanfaatkan 82,400 penerima.

Selain Deepavali, program bantuan iu turut diberi kepada keluarga kurang berkemampuan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina untuk membeli barangan keperluan.

Nilai baucar juga dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 berikutan situasi ekonomi dan keperluan rakyat.


Pengarang :