AGENDANASIONAL

Mayat dipercayai pelancong India yang hilang ditemui dalam sungai

IPOH, 1 OKT: Satu mayat lelaki dipercayai pelancong India yang hilang ketika mendaki Gunung Jasar, Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang ditemukan di dalam sungai di kawasan sempadan Perak-Pahang hari ini.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Azri Ramli berkata mayat dijumpai pada 3.40 petang dan tidak dapat dibawa keluar disebabkan faktor muka bumi yang memerlukan bantuan helikopter.

Beliau berkata bantuan helikopter daripada Pasukan Gerakan Udara dijangka tiba esok pada 9 pagi untuk membawa keluar mayat itu.

“Proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Cameron Highlands. Satu sidang media akan diadakan selepas bedah siasat itu,” katanya dalam kenyataan lewat malam ini.

Azri menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut dan menyalurkan maklumat kepada bilik gerakan (DCC) menerusi talian 05-4915 999 atau mana-mana balai polis berhampiran, jika mempunyai sebarang maklumat.

Beliau turut mengingatkan orang ramai untuk tidak menularkan maklumat tidak sahih menerusi laman media sosial.

Terdahulu, Azri memaklumkan kawasan pencarian bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pelancong dari India, Nandan Suresh Nadkarni, 44, yang hilang sejak 22 Sept lepas ketika mendaki Gunung Jasar diperluas melepasi sempadan Perak, semalam.

Hari ini merupakan hari keenam misi pencarian itu melibatkan 101 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi seperti polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan pertubuhan bukan kerajaan seperti Malim Gunung Cameron Highlands dan Radio Communication and Recreation Club.

Mangsa telah mendaftar masuk ke Hikers Sleep Port Guest House, Tanah Rata pada 19 Sept dan sepatutnya mendaftar keluar pada 24 Sept.

Hasil siasatan awal polis mendapati pada 22 Sept, mangsa telah keluar dari hotel seorang diri untuk melakukan aktiviti pendakian di trail 10 Gunung Jasar, berdasarkan beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh di sekitar kawasan Tanah Rata.

— BERNAMA


Pengarang :