Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyaksikan penyampaian cek cura kepada rumah Kasih Harmoni Paya Jaras sempena Festival Daikin ‘Menyatukan Semua’ di Daikin Sungai Buloh pada 30 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Raja Muda berkenan rasmi Festival Daikin, saksikan tarian budaya Jepun, Malaysia

SHAH ALAM, 1 OKT: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat ke Festival Daikin di ibu pejabat syarikat penyedia solusi penghawa dingin Sungai Buloh di sini hari ini.

Keberangkatan tiba Baginda kira-kira 5 petang disambut Naib Presiden Kanan Daikin Malaysia Group Management Mitsuo Honda dan Pengurus Besarnya Tomoji Miki.

Dalam acara itu, Tengku Amir menyaksikan penyerahan cek cura sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh syarikat terbabit kepada wakil dua rumah kebajikan dan tiga sekolah sekitar Sungai Buloh.

Ia membabitkan Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Rumah Aman Children’s Home, Sekolah Kebangsaan Bukit Rahman Putra, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Sungai Buloh dan SJK Tamil Kuang, dengan masing-masing memperoleh RM2,000.

Baginda turut menyaksikan persembahan tarian Yosakoi oleh pekerja ekspatriat Jepun Daikin selain tarian kebudayaan serta silat.

Mitsuo berkata festival itu julung kali diadakan dengan mengetengahkan konsep ‘menyatukan semua’ sebagai tanda membina hubungan erat dengan masyarakat tempatan.

Menggabungkan elemen Jepun dan Malaysia, festival itu juga medan terbaik menonjolkan komitmen Daikin terhadap program CSR yang dijalankan sejak bertapak di negara ini pada 2006.

“Festival ini mencapai visi syarikat iaitu kecemerlangan, penyatuan dan penambah baikan masyarakat. Selain menyediakan solusi penghawa dingin, kita komited dalam program CSR.

“Misalnya melalui sumbangan kepada lima pihak hari ini yang diharap dapat membantu operasi harian mereka,” katanya berucap pada pelancaran festival itu.

Festival itu menyajikan pelbagai aktiviti menarik termasuk tarian kebudayaan Jepun dan Malaysia, gerai jualan makanan, aktiviti mewarna bersama Upin dan Ipin serta Pichonkun.

Turut diadakan sesi temu dan sapa (meet and greet) pemain bolasepak Selangor FC yang memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan autograf serta cabutan bertuah.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan merasmikan Festival Daikin ‘Menyatukan Semua’ di Daikin Malaysia Sungai Buloh pada 30 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :