Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 19 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Wujud peluang kerja dengan gaji lebih baik, tingkat taraf hidup rakyat

Oleh Fitri Hazim Hazam

SHAH ALAM, 26 OKT: Peluang pekerjaan dengan gaji lebih baik perlu diwujudkan untuk meningkatkan taraf kualiti hidup rakyat, khususnya dalam bidang teknikal dan vokasional, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Ahli Parlimen Gombak itu berkata ia bagi memenuhi sasaran gaji median di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 berjumlah RM4,510 menjelang 2030.

“Mengikut Laporan Tinjauan Pendapatan Jabatan Perangkaan 2022, pada masa ini terdapat jurang gaji di seluruh negara, dengan hanya 11.5 peratus isi rumah berpendapatan RM16,000 dan ke atas.

“Ini bermakna 89.5 peratus keluarga mempunyai gaji lebih rendah daripada itu. Daripada peratusan ini, hampir 40 peratus isi rumah berpendapatan di bawah RM5,000 sebulan.

“Ini jelas menunjukkan salah satu punca kebimbangan utama rakyat Malaysia ialah persepsi ekonomi meminggirkan mereka dan tidak menawarkan peluang untuk meningkatkan kualiti hidup,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Amirudin menambah isu kualiti pekerjaan yang menawarkan gaji tinggi atau gaji lebih berpatutan masih belum dapat diatasi walaupun kadar pengangguran menurun kepada tiga peratus.

“Beberapa hari lalu, Kerajaan Negeri menerima pandangan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bahawa produktiviti pekerja telah menurun.

“Kadar produktiviti sangat berkait rapat dengan kadar upah walaupun kita telah mencipta banyak peluang pekerjaan namun ia tidak mampu untuk memberikan gaji tinggi,” katanya.


Pengarang :