Hari terbuka program kemahiran dan vokasional (TVET) Yayasan Raja Muda Selangor di Kolej Komuniti Kuala Langat, Banting mendapat sambutan orang ramai yang diadakan pada 26 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Peruntukan TVET tumpu lahir tenaga kerja mahir, pacu sektor impak tinggi

Oleh Fitri Hazim Hazam

SHAH ALAM, 26 OKT: Ahli Parlimen Gombak berharap peruntukan RM6.8 bilion dalam Belanjawan 2024 untuk program kemahiran dan vokasional (TVET) perlu diberi tumpuan untuk melahirkan lebih ramai pekerja berkemahiran tinggi dan meningkatkan pendapatan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia bagi menjayakan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 untuk memacu sektor berimpak tinggi seperti elektrik dan elektronik (E&E), kimia, kenderaan elektrik, aeroangkasa dan farmaseutikal.

“Saya berharap peruntukan RM6.8 bilion untuk TVET disalurkan kepada institusi teknikal dan vokasional yang disasarkan mengikut NIMP 2030.

“Bidang seperti aeroangkasa, farmaseutikal, makanan dan minuman (F&B) serta peralatan perubatan melatari sektor pembuatan negeri Selangor.

“Koordinasi di kalangan jawatankuasa TVET bersama Kerajaan Negeri perlu diwujudkan untuk mencapai sasaran gaji median RM4,510 dan mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dapat dicapai pada 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan Selangor yang berwawasan sebagai pintu masuk Asean berada dalam posisi terbaik untuk memanfaatkan pelbagai peluang ekonomi menerusi NIMP 2030.

Sebagai gedung ekonomi negara, Amirudin berkata peluang itu dapat dicapai dengan mengukuhkan sistem dwifungsi kerajaan yang berteraskan rakyat dan mesra perniagaan.


Pengarang :