EXCO Kerajaan Tempatan Ng Suee Lim (tengah) menyaksikan Majlis Penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) antara MBSA yang diwakili Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman (tiga dari kiri) bersama Nestle Malaysia diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Juan Aranols (tiga dari kanan) dan KPT Recycles Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusannya Lee Chay Chen (dua dari kanan) di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13 pada 5 Oktober 2023. Foto SHEEDAFATHIL/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSA perluas kutipan bahan kitar semula ke kawasan perumahan bertanah

SHAH ALAM, 6 OKT: Kutipan bahan kitar semula di Shah Alam diperluas ke kawasan perumahan bertanah dengan pelaksanaan secara berfasa.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman berkata penduduk di kawasan perumahan atas tanah boleh menggunakan aplikasi ‘3R Family’ menerusi telefon pintar.

Menurutnya, aplikasi itu bertindak sebagai platform menyampaikan maklumat terkini seperti lokasi dan waktu kutipan barangan kitar semula di Shah Alam.

“Aktiviti kutipan pintu ke pintu di kawasan kediaman atas tanah ini memasuki fasa keempat membabitkan 60,000 kediaman.

“Antara kawasan terlibat dengan kutipan bahan kitar semula ini adalah Seksyen U8, Seksyen U16, Seksyen U13, Seksyen U10, Seksyen 31-35. Kita akan meneruskan ke kawasan lain secara berfasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) antara MBSA bersama Nestle Malaysia dan KPT Recycles Sdn Bhd di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13, di sini semalam.

Hadir menyempurnakan majlis EXCO Kerajaan Tempatan Ng Suee Lim.

Ir Cheremi berkata bagi perumahan kos rendah bertingkat pula MBSA bersama Nestle Malaysia dan KPT Recycles Sdn Bhd menyediakan tong kutipan ‘Re-Rosta’ iaitu inovasi kutipan sampah kering.

Beliau menjelaskan, penyediaan tong itu bertujuan memudahkan penduduk perumahan bertingkat melaksanakan amalan pengasingan barangan tanpa perlu ke pusat kitar semula.

“Selain itu, kita turut menganjurkan program ‘First Mile Recycle’ iaitu inovasi kutipan sampah kering di kawasan kampung tradisional dalam kawasan pentadbiran MBSA.

“Program ini berjaya meningkatkan kesedaran aktiviti kitar semula dalam kalangan penduduk di kawasan kampung tradisional bagi melaksanakan konsep 3R (kurangkan, guna semula, kitar semula),” katanya.


Pengarang :